Bagi yg nak balik beraya di kampung, meh baca cerita lama tulisan bekas pengetua, Tuan Haji Abdul Ghani bin Haron dari Kedah ni. Semoga cerita di bawah ini menjadi teladan untuk kita semua muhasabah diri kita. Kita balik beraya di kampung sebab nak menziarahi ibubapa, adik-beradik, saudara-mara dan kampung halaman. Bukannya nak balik mengumpul dosa kerana anak bini kita membuka aurat, OK? Jom baca nukilan Tuan Haji Haron sekarang....

Subuh selepas hari raya, saya menyapa seorang jiran yg bersolat jemaah subuh bersama saya, "Anak cucu ramai balik, penuh rumah agaknya, Mak Lang."

Dia membalas,"Mak Lang dah siap awal, Mak Lang dah tempah homestay. Mak Lang suruh yang lelaki tidur di homestay, tinggal anak isteri saja di rumah Mak Lang. Bimbang balik beraya buat dosa, dosa melihat aurat ipar-duai, sepupu, biras."

Cerita balik raya di kampung memang seronok tetapi hakikatnya mudah terpalit dosa jika tidak dirancang. Apa tidaknya, bila beberapa keluarga berhimpun dlm satu rumah, tidur bergelimpang hingga ruang tamu kerana tak cukup bilik, akan berlakulah penampakan aurat ipar, sepupu, biras dsbnya semasa tidur. Keluar bilik mandi, masa menyusu badan. Kalau dah tidur, tetaplah terbuka aurat.

Paling resah adalah wanita yg kena berbungkus 24 jam kerana sentiasa ada orang yg bukan mahram disekelilingnya. Rimas, panas! Ditambah pula beratur di bilik mandi. Inilah cerita tidak seronok balik kampung beraya yg tidak terzahirkan kerana nak jaga hati banyak pihak. Tetapi wanita yg solehah tetap berkorban demi menjaga hati suami dan mentua serta ipar. Namun suami yg prihatin dan mentua yg mengambil berat sepatutnya mengambil kira persediaan menyambut kepulangan anak, cucu dan menantu agar berhimpun untuk beraya tidak terpalit dosa.

Suami yg prihatin sepatutnya mengambil kira untuk tetap menyembunyikan aurat isteri, meringankan pengorbanan kena berbungkus 24 jam. Tindakan Mak Lang itu adalah sesuatu yg betul. Zaman dulu dimana masalah aurat tidak diberi penekanan, hal ini diremehkan. Tetapi pada kita yg sentiasa menjaga aurat, jangan diambil mudah bila beraya bersama ipar duai, sepupu dan biras kerana hukum aurat tidak berubah dlm situasi apa pun. Nak jaga hati emak dan mentua, bukan bermakna boleh main cincai dlm masalah aurat, boleh lebih kurang, biar tidur bersesak, terselak sana sini, asal boleh tidur.

Pemisahan lelaki wanita yg bukan mahram tetap kena berlaku dan diutamakan dari soal kekeluargaan. Maka menyedia ruang pemisahan ini wajib atau mengasing dgn menyewa homestay atau hotel, walaupun belanja tinggi tetapi itu lebih baik dari sekali terpandang aurat ipar atau sepupu atau yg lain yg bukan mahram. Bukan sahaja bila balik beraya, bahkan bila berkampung  kerana kenduri kendara. Jangan ambil mudah soal aurat, kasihanilah isteri anda dan anak dara anda, kerana suami juga tetap terseret jika aurat isterinya terdedah jika dia tidak bersedia mengelaknya.

Kisah Tsalabah bin Abd Rahman yg terlihat betis wanita bukan mahramnya,merasa amat berdosa lalu mengasingkan diri ke gua hingga Nabi menemuinya adalah contoh betapa beratnya dosa melihat aurat wanita bukan muhrim (hadis ini dikatakan daif tetapi boleh jadikan teladan). Jangan balik beraya, menggendong dosa.

Jangan peduli sindiran orang yg menyebut, "balik kampung tapi tidur homestay, hotel", kerana mereka mungkin tidak faham kita nak mengelak dari terbuat dosa. Selain itu faktor keperluan untuk mandi manda dan membuang air juga penting kerana itu keperluan hidup yg boleh menjejas kesihatan.

Kesimpulannya, apa juga yg kita buat, jangan sekadar merancang untuk melaksanakannya, tetapi rancanglah supaya apa yg dibuat menjadi kebajikan, apa yg dibuat terelak dari dosa. Bantulah isteri anda dlm memelihara auratnya, bahkan memelihara aurat isteri itu satu kecemburuan yg mandatori dan wajib dilaksanakan. Wallahu a'lam.