Apabila ada saja cuti perayaan dan cuti sekolah maka berduyun-duyunlah anak-anak perantau balik ke kampung halaman mereka di seluruh negeri Kelantan. Kepulangan mereka tetap dinanti oleh kaum keluarga di kampung yang masih menyayangi mereka. Kepulangan perantau itu menyebabkan jalan raya di Kelantan sesak biarpun tidak seteruk cuti Hari Raya Puasa.

Pada malam CNY jalan di bandar Tanah Merah sesak kerana orang ramai berpusu-pusu ke pasar malam. Silap aku juga keluar naik kereta. Kalau naik motor kan dah boleh cilok? Pada hari pertama CNY jalan2 di dalam bandar tak la banyak kereta tetapi jalan2 yang menghubungkan antara daerah seperti Pasir Puteh-Machang-Tanah Merah-Jeli dan Gua Musang-Kuala Krai-Machang-Kota Bharu kenderaan nampak bersusun-susun. Ini kerana ramai yang baru balik ke kampung menerusi tiga pintu masuk utama iaitu Gua Musang, Pasir Puteh dan Jeli.

Selain dari itu ramai yang mengambil kesempatan untuk melangsungkan perkahwinan pada CNY ni jadi banyak la konvoi kenderaan yang aku nampak di atas jalan raya. Yang nak buat kenduri arwah dan aqiqah pun ramai jadi memanglah tradisi kunjung mengunjung terus menjadi amalan biar pun semasa CNY. Hebatkan? Cina yang beraya tapi Melayu yang sibuk ke hulu-hilir untuk menyesakkan jalan raya.

Kedai-kedai kaum Cina memang ditutup sepanjang CNY ini dan aku sukar bertemu dengan orang Cina di pekan dan jalan raya. Agaknya mereka berkurung di dalam rumah kot? Cuma pada malamnya berdentum-dentum bunyi mercun dan bunga api. Baru terasa kemeriahan musim perayaan kan? Kedai-kedai dan pasar terus dibuka kerana di Kelantan masih ramai orang Melayu yang berniaga. Kesempatan ini diambil oleh anak-anak perantau untuk membeli-belah barangan untuk dibawa balik sebagai stok makanan dan buah tangan kepada rakan sepejabat. Antara barangan yang kerap diborong ialah toto, pinggan mangkuk, periuk belanga, kuih-muih tradisonal, kain tudung, serunding daging dan pakaian tiruan berjenama.

Aku dapati orang-orang luar (orang Melayu dari negeri lain) juga mengambil kesempatan untuk bercuti di sini. Biasanya tumpuan utama mereka ialah kedai-kedai di Rantau Panjang, Pengkalan Kubur dan Bukit Bunga. Tujuan utama mereka datang sini nak membeli-belah selain dari menikmati makanan tradisonal Kelantan yang enak dan asli seperti nasi kerabu, nasi dagang, nasi tumpang, kuih akok, jala mas, gelembung buaya dan lompat tikam.

Sesungguhnya kepulangan anak-anak Kelantan dan kedatangan pelancong-pelancong tempatan menyumbang ke arah kesesakan jalanraya di Kelantan semasa cuti Tahun Baru Cina. Jadi aku kena bersabarlah sementara menunggu mereka pulang ke tempat masing-masing.