Pada malam Isnin yang lalu berlangsunglah satu anugerah yang paling berprestij iaitu Anugerah Juara Lagu 27 dari Stadium Putra, Bukit Jalil. Daddy rasa semua orang sudah maklum akan pemenang-pemenang pada malam tersebut. Kepada yang belum tahu, inilah senarai pemenangnya:

Persembahan Terbaik - Teman Pengganti - Black & RJ
Vokal Terbaik - Ku Akui - Hafiz
Tempat Ke 3 - Ku Akui - Hafiz, Ajai
Tempat Ke 2 - Idola - Azlan & The Typewritter, Audi Mok
Juara - Terukir Di Bintang - Yuna

Sememangnya saya jarang terlepas menonton AJL sejak 1987 lagi kerana anugerah ini mengiktiraf para komposer, penulis lirik dan penyanyi diatas hasil karya mereka.  Cuma semasa remaja saya akan terpaku di depan kaca TV sehingga tamat acara tetapi sejak usia menghampiri 40 ini saya menonton sambil membuat kerja-kerja lain. Biasalah, dulu minatkan hiburan tapi sekarang lebih kepada agama pula tetapi sedikit hiburan perlu jugak kan di dalam hidup kita?

OK, berbalik kepada AJL 27, persembahan dimulakan dengan tiga penyanyi OTAI iaitu Misha Omar, Ziana Zain dan Faizal. Penampilan Misha memang daddy tunggu sebab dia sudah jarang keluar TV sekarang. Selesai persembahan pembukaan, maka lagu pertama diperdengarkan iaitu ‘Ombak Rindu’ diikuti oleh ‘Patah Seribu’. Persembahan pada malam itu diakhiri oleh ‘Aku Anak Kampung.’ Secara keseluruhannya semua persembahan dan mutu vokal artis-artis yang bertanding amatlah memuaskan. Sementara menunggu keputusan diumumkan, penonton dihiburkan oleh penyanyi lama seperti Rahmat Mega, Joey BPR, Ramli Sarip dan lain-lain.

Tentang keputusan pula saya tak berani nak komen lebih-lebih sebab saya bukannya pakar dalam bidang muzik ni. Cuma saya rasa kategori persembahan terbaik janganlah diadili menerusi undian SMS kerana penonton-penonton belum cukup bersedia dan arif untuk memilih yang terbaik. Ini AJL, bukannya AF! Saya rasa pelik juga kerana untuk tahun kedua, lagu terbaik di AIM tidak menjadi lagu terbaik di AJL. Tahun lepas, ‘Sedetik Lebih’ tewas kepada ‘Awan Nano’ manakala tahun ini ‘Patah Seribu’ kecundang ditangan ‘Terukir di Bintang’. Mungin pihak juri gemarkan lagu yang simple dan ‘catchy’ untuk dinobatkan sebagai juara. Mengenai mutu vokal Hafiz memang tidak dapat disangkal lagi sehinggakan Ibu Hetty Koes Endang memberikan ‘standing ovation’ kepadanya. 3 tahun berturut-turut menang woi! Hebat kau Fiz! Lepas ni kau pergilah ke Asian Wave di Shanghai  dan Performing Arts  New York. Cipta nama di luar negara pula...

Akhir sekali AJL kekal sebagai majlis yang memartabatkan lagu-lagu ciptaan tempatan agar lebih banyak lagu-lagu bermutu dihasilkan pada masa depan untuk menjadi halwa telinga kita semua.