Pada minggu lepas, seorang bekas pelajarku datang ke sekolah kerana ingin mengambil wang bantuan awal persekolahan untuk adik perempuannya. Bapanya tidak dapat hadir kerana bertugas di luar negeri. Firdaus Ridzwan menduduki SPM di sekolahku pada tahun 2008. Dia adalah pelajar yang rajin biarpun tidak mendapat semua A di dalam SPM. Selepas SPM, dia melanjutkan pelajaran ke Kolej Matrikulasi dan seterusnya ke Universiti Malaysia Terengganu dalam bidang Sains Marin. Dia baru saja menerima ijazah pertama pada November lepas jadi sekarang dia masih mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelulusannya.

Berbalik kepada sesi perkongsian pintar ini di mana saya meminta dia memberikan ucapan ringkas tentang pengalamannya sebagai mahasiswa di Matrik dan UMT dan kepentingan Bahasa Inggeris semasa di kampus kepada murid-murid Tingkatan 5 Sains 2 seramai 33 orang. Pada mulanya saya menyuruh dia bercakap selama 15 minit tetapi akhirnya ia berlanjutan selama lebih 1 jam kerana calon-calon SPM ini menunjukkan minat tentang penyampaian dan pengisian ceramah berkenaan. Mereka juga menanyakan soalan kepada Firdaus dan dia berjaya menjawab sebaik mungkin. 

Antara tips yang dia berikan ialah agar murid-murid ini belajar berdikari kerana semasa di IPTA mereka akan berjauhan dengan keluarga dan tiada siapa yang akan memaksa mereka menghadiri kelas atau menyiapkan tugasan tidak seperti di sekolah di mana guru dan ibubapa akan memastikan mereka berbuat demikian. Dia juga berkongsi cara belajar yang betul semasa di kampus dan cara berkomunikasi dengan rakan-rakan dari pelbagai kaum, negeri, budaya dan kedudukan. Selain dari itu dia juga menyelitkan peluang kerjaya yang ditawarkan oleh SPA khusus kepada murid-murid yang mendapat keputusan sederhana di dalam SPM nanti.

Sesungguhnya perkongsian pintar itu membuka minda dan perspektif murid-murid Abe Kie yang bakal menduduki SPM hujung tahun ini.