Pada pagi Jumaat yang lalu aku menerima panggilan dari seorang lelaki. Rasa macam pernah ku dengar suara itu tapi aku tak pasti siapakah dia. Bila aku bertanya lantas dia memperkenalkan dirinya sebagai Ismail Riduan, iaitu bekas pelajarku semasa aku mengajar di SMK Majakir Papar dari 1997 hingga 2001. Seingat aku, akulah yang mengajar subjek Bahasa Inggeris kepadanya untuk SPM dan MUET. Ringkasnya aku mengajarnya selama 3 tahun. Ismail merupakan pelajar terbaik STPM tahun 2001 dan seterusnya Berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaysia Sabah dalam bidang pendidikan.

Sebenarnya dia berjaya menjejakiku di Facebook sejak 4 tahun lalu iaitu semasa dia mengajar di SMK Kinabatangan. Cubaan Ismail untuk berjumpa denganku sering saja menemui jalan buntu kerana jadual kami yang tidak seiring. Berkat kesabaran kami, maka setelah dua belas tahun dapatlah kami berjumpa semula. Dia menceritakan pengalaman kerjayanya sebagai guru dari Kinabatangan, Sabah ke Grik, Perak semenjak 7 tahun sudah. Selain dari itu dia juga menceritakan kisah kawan-kawan sekelasnya yang lain. Oh! Banyak sekali perkara yang berubah. Masing-masing sudah berkahwin dan mempunyai anak. Dia sendiri berkahwin dengan gadis dari Melor, Kelantan dan kerap berulang-alik untuk menemui isterinya pada hujung minggu.

Terlalu banyak perkara yang ingin dibualkan dengan beliau sepanjang sejam pertemuan kami di Medan Selera Pekan Tanah Merah tapi kerana factor masa kami terpaksa beredar dan berharap agar berjumpa lagi pada masa hadapan. Semoga impiannya untuk bertukar ke Kelantan bakal menjadi kenyataan agar dia lebih dekat dengan isteri dan anaknya. InsyaAllah.