Anak pertama saya, Anis, bakal menduduki UPSR pada tahun 2015. Saya sangat bimbangkan prestasi akademiknya kerana keputusan peperiksaan akhir tahun lalu, dia cuma mendapat 3A untuk kertas Penulisan, Pemahaman dan Bahasa Inggeris. Manakala dia mendapat B dan D untuk Sains dan Matematik. Situasi ini amat membimbangkan kerana saya berharap dia juga bakal memasuki SBP seperti saya dahulu. 

Kebetulan satu pusat tusyen di Tanah Merah, Kelantan iaitu Pusat Tusyen Aqdi di Jalan Klinik ada menawarkan kelas intensif UPSR dengan yuran RM130 untuk 5 kertas UPSR. Lalu saya menghubungi pemilik pusat tusyen tersebut, Ustaz Afandi untuk mendaftarkan anak saya. Kelas bermula pada 29 Nov sehingga 23 Disember. Kelas diadakan 4 hari seminggu dari Sabtu hingga Selasa selama 90 minit bermula jam 10 pagi. Maka bermulalah tugas saya menghantar dan mengambil Anis dari kelas tusyen.

Saya berharap Anis mendapat ilmu yang secukupnya dari kelas tusyen yang dihadirinya. Pada mulanya dia enggan mengikuti tusyen tersebut kerana mahu bermain telefon pintar dan menonton TV sahaja semasa cuti sekolah ini.Setelah dimarahi barulah dia mengalah dan kini gembira menghadiri kelas tusyen itu. Alhamdulillah.