Assalamualaikum. Pada hari ini kita dapati banyak istilah bahasa Inggeris masih digunapakai di dalam kehidupan seharian. Kita sudah terbiasa menggunakan istilah berkenaan biarpun ada istilah bahasa Melayu yang bersesuaian. Pihak kerajaan persekutuan jika seperti menyokong penggunaan istilah bahasa Inggeris dengan memperkenalkan istilah 'parcel' dan 'precint' di Putrajaya. Manakala syarikat2 perumahan pula berlumba-lumba menggunakan nama seperti 'riverside', 'riverview', 'gold coast' dan sebagainya. Kononnya untuk nampak moden dan gah di mata masyarakat.

Sebenarnya ada banyak istilah dalam bahasa Melayu yang dikeluarkan DBP berkaitan bidang sains dan teknologi bagi menggantikan istilah dalam bahasa Inggeris antaranya termasuklah pemacu pena bagi menggantikan pendrive, pemacu jari (thumbdrivbe), muat naik (upload), muat turun (download),  paparan hablur cecair (LCD-liquid cyrstal display), telesidang (teleconference), nirplag (unplugged), bual maya (virtual chat), perisian (software), capaian (access) dan banyak lagi contoh lain.

Manakala istilah dalam bahasa Melayu yang berkaitan penamaan tempat, perniagaan, perhotelan dan umum antaranya ialah latar pentas (back-drop), anjung kopi (coffee terrace), kira detik (countdown), bilik acu (fitting room), teratak desa (homestead), inap desa (homestay), jualan perabis (clearance sale), daftar masuk (check-in), daftar keluar (check-out), bayar dan bawa (cash and carry), jualan raksasa (jumbo sale), kios (kiosk) dan peristirahatan (lounge).

Istilah-istilah lain termasuklah pinggir tasik (lakeside), megapura (megamall), hadap taman (parkview), megapuri (penthouse), persantaian (resort), jerayawara (roadshow), bas ulang alik (shuttle bus), stimbot (steamboat), kem bina diri (summer camp), bicarawara (talkshow), ujana teh (tea garden), pramusaji (waiter / waitress), dapur basah (wet kitchen), perkakasan (hardware), jeda (pause), bankuet (banquet), bufet (buffet), hotel jimat (budget hotel), pisang sejoli (banana split), minuman apung (float) dan lain-lain lagi.

Pengguna bahasa Melayu seharusnya berani menggunakan istilah-istilah teknikal dalam bahasa Melayu walaupun bunyinya agak aneh. Kita mengharapkan agar lama-kelamaan istilah ini akan menjadi istilah yang digunakan oleh semua orang.

Akhir kata, Bahasa Jiwa Bangsa!

Sumber: Sinar Harian