Masalah air di Kelantan semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Ada beberapa faktor yang menyumbang kepada masalah besar ini. Pertama, jumlah penduduk yang semakin meningkat. Biasanya orang-orang Kelantan yang bekerja di luar negeri akan balik membina banglo di kampung masing2 bila hampir bersara terutama sekali kakitangan kerajaan. Kedua, pam air yang ada di loji2 di seluruh negeri sudah tidak mampu menampung bebanan air untuk diproses. Ketiga, berlaku kebocoran paip yang menjejaskan simpanan air di tangki2 utama.

Di daerah saya, Tanah Merah, masalah ini terus berlaku tetapi tidaklah seteruk Pasir Mas dan Tumpat. Namun kesabaran saya ada batasnya kerana pada Hari Raya Puasa tahun lalu tekanan air menjadi terlalu rendah. Cuma satu paip sahaja yang boleh dibuka pada sesuatu masa. Jika mahu menggunakan mesin basuh kenalah tekan suis selepas tengah malam. Sekiranya saya mahu mandi terpaksa menadah air di dalam tong hitam sehingga penuh kerana air tidak naik ke 'shower'.

Selepas cuti raya saya membuat temujanji dengan kontraktor telaga tiub atau lebih dikenali dengan air bowring. Oleh kerana permintaan yang tinggi, permohonan saya mungkin akan dilaksanakan sebelum Hari Raya Haji. Seminggu sebelum Aidil Adha kontraktor boring datang ke rumah untuk menggali lubang bagi mencari mata air. Proses menggali ini mengambil masa sehingga Maghrib. Namun air yang keluar berbau payau dan berwarna keruh kerana tapak rumah saya dahulunya ialah sawah padi.

Nampaknya saya terpaksa membeli penapis air luar yang diletakkan di bawah tangki bagi menapis air agar boleh diminum. Mujurlah adik tiri saya menjual dan memasang penapis air ini. Selain dari membeli penapis air, saya juga perlu membeli pam air dan saluran paip bagi menyedut air dari telaga tiub itu ke tangki dan paip dalam rumah. Hampir RM3000 juga saya belanjakan untuk semua peralatan dan upah.

Kini rumah saya menggunakan air dari telaga tiub sepenuhnya. Mungkin airnya tak sejernih AKSB tetapi bekalan yang berterusan dapat memastikan saya dan keluarga melakukan kerja-kerja seharian tanpa gangguan. Namun begitu bekalan AKSB tidak dipotong. Manalah tahu kalau pam air tu rosak, bolehlah saya bergantung kepada air paip tu.

Apa komen kawan-kawan tentang masalah air di Kelantan khususnya dan di Malaysia amnya?

Sekian. Terima kasih.